DUN Bertam: Reezal Merican hadapi saingan satu lawan satu

Reezal Marican dan pencabarnya dari Perikatan Nasional Khaliq Mehtab Mohd Ishaq menunjukkan nombor susunan bagi kertas undi sempena proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Sabtu. - Foto: Bernama
Reezal Marican dan pencabarnya dari Perikatan Nasional Khaliq Mehtab Mohd Ishaq menunjukkan nombor susunan bagi kertas undi sempena proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berdepan persaingan sengit satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam apabila berdepan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, daripada Perikatan Nasional (PN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ini.

Pencalonan Reezal Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Khaliq Mehtab (Bersatu), diumum oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Isma Wirda Yusof di Pusat Penamaan Calon DUN Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal di Dewan Millenium Kepala Batas pada Sabtu.

Isma Wirda berkata, borang pencalonan pertama dikemukakan Khaliq Mehtab pada jam 9.07 pagi, diikuti Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada jam 9.13 pagi.

Reezal Merican, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas menyifatkan perebutan kerusi DUN Bertam itu sebagai usaha untuk menebus maruah setelah kalah pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kepala Batas sekali gus mengembalikan kebangkitan BN.

Beliau berkata, ia merupakan medan penting BN untuk mendapatkan kembali menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas 15 tahun.

"PRN ini kita lihat kerajaan negeri yang bakal ditubuh. Wajar kita (BN) jadi rakan kongsi bermaruah dan kuat dalam kerajaan negeri. Insya-ALLAH DUN Bertam kita akan kembalikan ke pangkuan BN,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Millenium Kepala Batas hari ini.

Mengakui cabaran besar berdepan figura politik tanah air besar, Khaliq Mehtab, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya lepas sebelum kerusi itu diarah dikosongkan berikutan keputusan mahkamah pada awal 2023 berkata, beliau yakin perkhidmatannya sebagai ADUN Bertam selama satu penggal akan membantu meraih undi.

"Lawan saya bukan calang-calang orang. Seorang bekas menteri, bekas Ahli Parlimen tetapi saya ambil ini sebagai satu cabaran kepada PN untuk bekerja lebih kuat,” katanya.

Pada PRU14, Khaliq Mehtab daripada PH ketika itu menang dengan undi majoriti 219 selepas memperoleh 6,485 undi, menewaskan Shariful Azhar Othman (BN) yang mendapat 6,268 undi dan Mokhtar Ramli (PAS) dengan 2,986 undi.

Bagaimanapun, Khaliq Mehtab telah menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020 dan menyatakan pendirian untuk bersama Bersatu serta menyokong kepimpinan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah daripada Pas akan berdepan dengan Mohd Naim Salleh daripada UMNO bagi mempertahankan kerusi berkenaan manakala DUN Pinang Tunggal menyaksikan perebutan antara Zainuddin Mohd daripada PKR dan Bukhori Ghazali daripada Pas.

Pada PRU14, Mohd Yusni menang di DUN Penaga dengan memperoleh 8,350 undi, menewaskan calon BN Mohd Zain Ahmad manakala di DUN Pinang Tunggal pula menjadi milik Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, selepas menang tipis dengan 127 undi majoriti, mengalahkan Datuk Roslan Saidin (BN) dan Bukhori (Pas).- Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!