Mahdzir buat 'comeback' cabar penyandang DUN Pedu

(Dari kanan) Mahdzir, Mohd Radzi, Ridzwan dan Munir selepas diumumkan calon bertanding DUN Pedu dan Kuala Nerang pada Sabtu.
(Dari kanan) Mahdzir, Mohd Radzi, Ridzwan dan Munir selepas diumumkan calon bertanding DUN Pedu dan Kuala Nerang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan berdepan pertandingan satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Mahdzir untuk merampas kembali kerusi berkenaan yang pernah dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dan 2008.

Bekas Menteri Besar Kedah itu akan dicabar penyandang kerusi berkenaan iaitu Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN-Pas).

Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di kawasan DUN Pedu melibatkan 51 saluran mengundi.

Calon bagi kerusi Pedu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Iman Hazwan Abd Halim di Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap.

Sementara, DUN Kuala Nerang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PH (Amanah), Ridzwan Abu Bakar yang akan mencabar penyandang kerusi berkenaan, Munir @Mohamad Yusof Zakaria mewakili PN (Pas).

Seramai 31,287 pemilih layak mengundi bagi kawasan DUN Kuala Nerang melibatkan 60 saluran mengundi.

Calon bagi kerusi Kuala Nerang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azmin Zainol Abidin di PPC yang sama.

Pada PRU14 lalu, Mohd Radzi menewaskan Kama Noriah Ibrahim dari BN dan Hashim Idris (PKR) dengan majoriti 670 undi.

Sementara Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-8 (2005-2008) sebelum berlakunya peralihan kerajaan.

Beliau mempertahankan kerusi Pedu dalam PRU 2008 menewaskan calon PKR, Datuk Zamri Yusuf dengan majoriti 2,733 undi.

Mahdzir seterusnya bertanding kerusi Parlimen Padang Terap dan menang dua penggal berturut-turut, iaitu pada PRU 2013 dan PRU 2018.

Namun bekas Naib Presiden UMNO itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap dalam PRU15 lalu, apabila tewas kepada calon Pas, Nurul Amin Hamid dengan majoriti 10,959 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!