Penyokong 'Bossku' eksploitasi PRN demi kepentingan diri

Mohd Nazifuddin - Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Mohd Nazifuddin - Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin menyelar tindakan penyokong 'Bossku' yang mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos ini.

Memetik laporan portal media Malaysiakini, Mohd Nazifuddin berkata, perbuatan itu dilihat seolah-olah mengeksploitasi pilihan raya demi kepentingan mereka sendiri.

Ujarnya, pilihan raya di enam negeri dan usaha menegakkan keadilan untuk Najib adalah dua isu yang berbeza.

“Sekarang ini, disebabkan jadual dan acara berkaitan pilihan raya negeri, saya rasa orang mengambil kesempatan daripadanya untuk keuntungan mereka sendiri.

“Sebagai sebuah keluarga, kami konsisten dengan apa yang kami percaya untuk bapa saya, iaitu untuk mendapatkan keadilan terhadapnya dan dia masih (mempunyai) lapan kes yang sedang berjalan.

“Kami percaya beliau akan menang dan akan ada jalan buat beliau memohon perbicaraan semula atau pengampunan untuk membebaskannya,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan, penyokong ‘Bossku’ mengesahkan akan memberi sokongan kepada PN pada PRN kali ini selain menegaskan telah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, sebagai ahli UMNO mereka telah hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid kerana menjadikan parti itu sebagai milik individu.