PRN: PN perlu kerja lebih kuat

Zool Amali (kiri) bersama Pengerusi MN Negeri Sembilan,Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard. - Foto: Bozz Jebat
Zool Amali (kiri) bersama Pengerusi MN Negeri Sembilan,Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard. - Foto: Bozz Jebat
A
A
A

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan perlu kerja lebih kuat untuk menembusi kubu kuat gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Seremban, Zool Amali Hussin berkata, ia termasuklah usaha menarik minat anak-anak muda di Negeri Sembilan untuk mengundi PN.

"40 peratus faktor calon menjadi penentu hala tuju kawasan kubu kuat parti lawan, jentera-jentera PN harus mencari titik kekuatan itu sendiri, semoga kita terus kekal istiqamah di dalam perjuangan ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas mengenai namanya yang tidak tersenarai sebagai calon, Zool Amali berkata, beliau sendiri yang menolak untuk dicalonkan dengan hujah-hujah yang telah diberikan kepada pucuk pimpinan dan turut mendakwa dia sepatutnya bertanding di DUN Rantau.

"Jujur saya katakan memang sepatutnya saya bertanding pada PRN kali ini tetapi di kerusi DUN Rantau, bagaimanapun saya menolak secara baik dengan hujah-hujah yang telah saya berikan pada pucuk pimpinan.

"Jika saya terlalu pentingkan pangkat atau kuasa, dah tentu saya menerimanya. Seperti mana yang saya sebut selalu, penghijrahan saya kepada Pas bukan untuk mengejar jawatan malah untuk menjadi calon PRN, sebaliknya untuk lebih istiqamah dalam perjuangan yang menuntut membela agama Islam dan bangsa saya iaitu Melayu," ujarnya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban itu berkata, dalam politik ini (tidak menjadi calon) adalah perkara biasa sekali gus mematangkan dirinya.

Nazree
Nazree

Sementara itu, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Nazree Yunus berkata, beliau menghormati dan menerima keputusan pucuk pimpinan parti berhubung calon yang bertanding pada PRN ini.

"Seperti yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan, mereka inilah merupakan calon terbaik yang dipilih oleh pucuk pimpinan. Insya-ALLAH saya akan memberikan komitmen 100 peratus dalam membantu calon-calon PN untuk memenangi 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

"Ini juga bukan soal saya bertanding ataupun tidak tetapi misi dan agendanya adalah untuk membawa perubahan dan peluang untuk kita memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN membolehkan PN membentuk kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.