KLSCCCI lanjut tempoh pencalonan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), melanjutkan tempoh pencalonan Kategori Belia, Anugerah MyHero sehingga 7 Ogos depan.

KLSCCCI dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Pengelola Anugerah MyHero mengambil langkah itu untuk menggalakkan penyertaan golongan muda.

“Anugerah MyHero mempunyai dua kategori iaitu dewasa (berumur 26 tahun ke atas dan belia (berumur 26 tahun ke bawah),” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KLSCCCI menganjurkan Anugerah MyHero untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada wira Malaysia yang tidak didendang atas sumbangan mereka dalam membantu golongan yang memerlukan di negara ini.

“Pengiktirafan itu diberikan kepada mereka yang menghulurkan pertolongan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama sekali gus dapat memupuk perpaduan negara dan keharmonian kaum,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh mencalonkan mana-mana individu Malaysia yang layak untuk menjadi Wira Belia.

Pencalonan boleh diserahkan kepada KLSCCCI melalui https://bit.ly/MyHeroNomination-GoogleForm atau myhero@chinesechamber.org.my, tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.myhero.chinesechamber.org.my