Satees keluar DAP, pertahan DUN Bagan Dalam atas tiket Bebas

Satees Muniandy
Satees Muniandy
A
A
A

BUTTERWORTH - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy mengumumkan keluar DAP dan mengesahkan akan bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Cawangan DAP Ujung Batu berikrar akan menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk terus menerajui Pulau Pinang.

Pada masa sama beliau menegaskan tidak akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya diberi mandat buat kali kedua menjadi ADUN kawasan berkenaan.

"Saya telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung parti, Anthony Loke pagi ini dan telah memaklumkan kepada Kon Yeow mengenai keputusan yang paling sukar, selepas 15 tahun berkhidmat dalam parti,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat ADUN Bagan Dalam di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:Kami bukan 'kem maharaja' dalam DAP - Satees

Satees antara beberapa penyandang dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) yang tidak tersenarai sebagai calon pada PRN kali ini selain Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Chong Eng, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, P Ramasamy.

Satees, 38, berkata, beliau akan bekerjasama mewujudkan blok calon Bebas bersama bekas Ketua Cawangan DAP Kampung Jawa Autocity, David Marshel yang turut mengumumkan keluar parti dan mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi DUN Perai, semalam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!