Lelaki parah dikelar penagih dadah

Pisau yang dipercayai digunakan suspek.
Pisau yang dipercayai digunakan suspek.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Intensif (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu selepas parah dipercayai dikelar dengan sebilah pisau dalam kejadian kira-kira jam 6.27 petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, lelaki berusia 32 tahun itu mengalami pendarahan di bahagian leher dan luka turut mengenai saluran pernafasannya.

Kama Azural memberitahu, ibu mangsa yang berusia 50 tahun memaklumkan anaknya datang ke tempat kerjanya dalam keadaan berlumuran darah dengan menunggang motosikal.

"Wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai terkejut melihat anaknya berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di bahagian leher," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, ibu mangsa kemudian bertindak segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Kama Azural berkata, suspek sudah dikenal pasti dan polis Pasir Mas telah menggerakkan pasukan Cantas Bahagian Siasatan Jenayah Pasir Mas bagi mengesan lelaki itu.

Jelas beliau, suspek berjaya ditahan pada hari sama kira-kira jam 9 malam di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.

"Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya.

Tambah beliau, ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.