Mohamad Zaidi kekal calon Bersatu DUN Sungai Air Tawar

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah calon PN bagi kerusi DUN Sungai Air Tawar yang akan bertanding pada PRN Selangor 12 Ogos depan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah calon PN bagi kerusi DUN Sungai Air Tawar yang akan bertanding pada PRN Selangor 12 Ogos depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memuktamadkan keputusan meletakkan Mohamad Zaidi Selamat mewakili parti itu selaku calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, keputusan meletakkan Mohamad Zaidi telah pun dibuat dan tiada perubahan calon dilakukan di DUN berkenaan.

"Beliau (Mohamad Zaidi) bertanding atas tiket PN dan kita mesti menang walau di mana sekali pun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat

Abdul Rashid memberitahu, setiap ahli dan mana-mana pimpinan Bersatu Bahagian Sabak Bernam perlu akur dengan keputusan terbabit.

"Walaupun perasaan kecewa masih ada, tetapi saya minta semua ini tolak tepi dahulu dan memenangkan calon yang telah dipersetujui di peringkat (Bersatu) Pusat," ujar beliau.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah calon PN bagi kerusi DUN Sungai Air Tawar yang akan bertanding pada PRN Selangor 12 Ogos depan.

Ketuanya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, hasil mesyuarat bersama peringkat cawangan Bersatu pada malam Khamis mengambil keputusan menolak pencalonan Mohamad Zaidi di kerusi DUN itu yang disifatkan sebagai calon luar.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mohamad Zaidi sebagai calon DUN dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan pada malam Rabu.

Mohamad Zaidi dijangka menentang penyandang kerusi DUN itu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Rizam Ismail.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rizam memenangi kerusi DUN itu selepas memperoleh majoriti 1,440 undi.

Rizam meraih 5,437 undi menewaskan calon Pas, Zamri Yahya yang memperoleh 3,997 undi dan calon Bersatu, Mohd Hamizar Sulaiman yang mendapat 3,921 undi.