Warga emas jadi 'ulat' di KLIA 2 ditahan

Sebuah kenderaan jenis Toyota Innova disita manakala pemandunya ditahan untuk siasatan kes kereta sewa haram atau ulat di KLIA 2, Sepang pada Khamis. - Foto JPJ Selangor
Sebuah kenderaan jenis Toyota Innova disita manakala pemandunya ditahan untuk siasatan kes kereta sewa haram atau ulat di KLIA 2, Sepang pada Khamis. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki warga emas yang menjalankan kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini, mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemandu lelaki berusia 60 tahun itu ditahan hasil intipan dan pemantauan pihaknya.

"JPJ telah bertindak menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Innova untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati pemandu itu telah memujuk, merayu bagi menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada empat penumpang tempatan dari Terminal 2, KLIA ke Subang Jaya, Selangor dengan kadar tambang RM150 dan akan dibayar apabila tiba di destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan itu adalah milik pemandu terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," ujarnya.

Tambah Ahmad Kamarunzaman, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 ataupun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.