Tawaran manifesto perpaduan Kedah realistik - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Manifesto Perpaduan Negeri Kedah dilancarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Khamis malam adalah tawaran rasional dan selari dengan aspirasi Madani dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di peringkat Persekutuan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto ditawarkan itu juga komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana sekiranya gabungan berkenaan berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada 12 Ogos ini.

"Perkara dalam manifesto ini menyentuh tentang pembangunan akal fikiran, kemahiran dan aspek pengisian dalaman, semuanya lengkap...inilah sebenarnya kerajaan Madani yang ingin dibawa.

Ini baharu politik matang.

"Bila nak ajak rakyat Kedah pilih kerajaan, biar dasar lawan dasar, program lawan program, tawaran lawan tawaran.

Kita mulakan politik baharu dan rakyat tidak membuat keputusan hanya berkisar pada politik, sentimen kaum dan agama yang sempit,” katanya ketika berucap pada Majlils Pengumuman dan Pengenalan Calon serta Pelancaran Manifesto Perpaduan Negeri Kedah di sini Khamis malam.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keadaan itu berbeza berbanding dengan apa ditawarkan Perikatan Nasional (PN) di bawah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak selari dengan kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.

"Sanusi boleh tawar, tapi kalau tiada duit macam mana nak buat?...kerana itu rakyat Kedah kasi tukar bagi sama (pentadbiran) negeri dengan Persekutuan, baru boleh buat,” katanya.

PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan 12 Ogos ini, manakala penamaan calon pada Sabtu ini.

Sementara itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin gabungan antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan akan mampu untuk merampas tampuk kepimpinan di negeri itu daripada PN.

"Sebelum ini kita bercakap pasal Pilihan Raya Umum, tak tahu siapa akan jadi kerajaan. Tetapi hari ini semua sudah tahu kerajaan (Persekutuan) adalah Kerajaan Perpaduan.

"...yang kita ingin ubah sekarang adalah di negeri ini dan saya yakin rakyat Kedah mahu melihat pembaharuan dalam konteks kemajuan dan pembangunan dalam semua aspek,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula ketika ditemui menyifatkan manifesto ditawarkan kepada pengundi di Kedah adalah munasabah untuk dilaksanakan sekiranya gabungan PH dan BN menang di negeri berkenaan.

"Ia harus bermula dengan soal integriti, tata kelola baik untuk memastikan segala pengurusan hasil bumi di Kedah ini akan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakyat negeri Kedah. Maka ia memerlukan kepada kepimpinan yang jujur, ada keupayaan dan idea untuk ketengahkan perubahan demi masa depan,” katanya. - Bernama