Penduduk harap PH kekalkan Shatiri sebagai calon Kota Damansara

Karim (tengah) bersama penduduk membantah pencalonan Amin sebaliknya meminta Shatiri dikekalkan sebagai calon PH DUN Kota Damansara.
Karim (tengah) bersama penduduk membantah pencalonan Amin sebaliknya meminta Shatiri dikekalkan sebagai calon PH DUN Kota Damansara.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Penduduk dan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara berharap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencalonkan semula Shatiri Mansor di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan.

Wakil penduduk Kampung Melayu Subang, Datuk Karim Kasnan berkata, Shatiri yang merupakan penyandang kerusi berkenaan telah memberikan perkhidmatan terbaik sebaik diberi amanah sebagai wakil rakyat kawasan itu sejak 2018.

Menurutnya, penduduk selesa dengan sikap wakil rakyat tersebut yang mesra dan mudah didekati penduduk.

"Tempoh lima tahun sudah cukup untuk kami menilai tahap kepimpinan di bawahnya. Kesungguhan beliau dalam membantu dan menyantuni penduduk amat kami hargai.

"Beliau telah menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang berwibawa dan teguh membantu masyarakat.

"Shatiri mudah didekati dan telah melaksanakan inisiatif tambahan seperti program Hari Bertemu Rakyat membolehkan rakyat berjumpa dengan beliau tanpa temu janji pada setiap minggu," katanya pada program memorandum bantahan calon bersama penduduk pada Rabu malam.

Antara penduduk yang mahu Shatiri dikekalkan sebagai calon PH DUN Kota Damansara.
Antara penduduk yang mahu Shatiri dikekalkan sebagai calon PH DUN Kota Damansara.

Sabtu lalu, Anwar selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan Amin Yazid sebagai calon parti itu bagi kerusi DUN Kota Damansara sekali gus mengetepikan Shatiri selaku penyandang kerusi berkenaan.

Shatiri pada PRU14 telah memperoleh majoriti 15,703 undi menewaskan pencabar Halimaton Saadiah Bohan (BN), Siti Rohaya Ahad (Pas) dan A Sivarajan (Parti Sosialis Malaysia).

Karim berkata, penduduk berharap Anwar mengutamakan calon tempatan yang lebih arif mengenai isu setempat yang dihadapi penduduk.

"Kami mahukan pemimpin yang menetap dan sentiasa berada di kawasan dan selalu turun padang bersama penduduk serta masyarakat.

"Pemimpin yang dipilih, mengambil cakna tentang permasalahan dan bersama dengan komuniti untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk dan masyarakat.

"Kami percaya Shatiri adalah pilihan terbaik untuk memenangi Kota Damansara bagi PH," katanya.