Jawatan Ketua Hakim Negara bukan tekanan

Tengku Maimun Tuan Mat - Foto Bernama
Tengku Maimun Tuan Mat - Foto Bernama
A
A
A

DATUK Tengku Maimun Tuan Mat melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei lalu.

Pelantikan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dibuat selaras dengan Fasa (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lepas.

Sehubungan itu, apakah perasaan dan pembaharuan yang ingin beliau laksanakan selepas menjawat jawatan Ketua Hakim Negara?

Ikuti temubual bersama Tengku Maimun, 60, pada sidang akhbar khas yang berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya, kelmarin

Apakah perasaan Yang Amat Arif apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara?

Tengku Maimun: Saya memanjatkan kesyukuran atas pelantikan ini kerana ia merupakan rezeki daripada ALLAH SWT dan berterima kasih apabila kehadiran saya amat dialu-alukan serta mendapat sokongan padu daripada pasukan.

Sebagai wanita pertama yang dilantik, adakah Yang Amat Arif berasa tertekan dipilih menjawat jawatan ini?

Tengku Maimun: Secara jujurnya saya tidak berasa tertekan disebabkan faktor wanita, memandangkan gender bukan isu pokok.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tekanan itu hanya atas dasar jawatan kerana ia menuntut tanggungjawab besar dalam mengendalikan badan kehakiman negara. Justeru, sama ada lelaki atau wanita, tanggungjawab harus dilaksanakan sebaik mungkin.

Apakah cabaran utama Yang Amat Arif hadapi dalam mengalas tanggungjawab sebagai ketua badan kehakiman negara ini?

Tengku Maimun: Cabaran paling utama adalah untuk mengekalkan keyakinan dan menguruskan persepsi masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.

Meskipun badan kehakiman menjalankan tanggungjawab dengan baik dan berintegriti tetapi persepsi negatif tetap timbul.

Sebahagian besar orang awam hari ini dilihat cenderung menulis isu berkaitan sistem kehakiman menerusi media sosial sehingga ia menjadi tular. Walhal, mereka yang melakukan perkara (menulis) itu tidak mempunyai latar belakang mahupun tahap kefahaman tinggi mengenai sistem kehakiman negara.

Yang Amat Arif antara hakim yang terkenal dengan penghakiman menentang. Adakah untuk menjadi hakim tertinggi, hakim diharuskan menulis penghakiman menentang?

Tengku Maimun: Saya tidak fikir itu satu kriteria utama yang diperlukan untuk dilantik sebagai hakim tertinggi. Rasanya tak banyak dissenting judgment saya lakukan.

Lagipun banyak lagi kriteria lain seperti bebas, kebolehan membuat keputusan berdasarkan keterangan dan fakta tanpa mengambil kira faktor-faktor lain termasuk integriti serta pengetahuan luas dalam undang-undang.

No Image Caption

Apakah perancangan baharu yang akan dilaksanakan oleh Yang Amat Arif?

Tengku Maimun: Setakat ini, saya masih meneruskan kesinambungan rutin yang ditinggalkan oleh Tan Sri Richard Malanjum (bekas Ketua Hakim Negara).

Terlalu awal melakukan pembaharuan kerana sebarang keputusan perlu dicapai secara kolektif selepas mengadakan perbincangan bersama tiga hakim tertinggi lain iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Apakah kriteria untuk menjadi hakim yang baik dan adil?

Tengku Maimun: Kita perlu berlaku adil kepada semua orang dan sentiasa mengingati sumpah jawatan ini serta berpegang kepada kod etika hakim.

Tentunya prinsip-prinsip asas lain yang terkandung dalam prinsip Bangalore (perilaku kehakiman) termasuk memastikan pihak yang dihakimi mempunyai hak untuk didengar di mahkamah.

Jika anda perlu tegur peguam maka tegurlah dengan sopan dan adil kepada semua. Layani peguam sama ada peguam kanan atau junior secara sama rata. Pada masa sama, cekap dalam mematuhi garis masa tetapi tidak berkompromi dengan kualiti kerja.

Berkecimpung dalam bidang ini hampir 37 tahun, bagaimana Yang Amat Arif membahagi masa antara keluarga dan karier?

Tengku Maimun: Saya rasa bersyukur kerana mempunyai suami dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk menjadi seorang hakim terbaik.

Selain itu, saya juga bersyukur kerana urusan rumah tangga dibantu oleh seorang sepupu yang menetap bersama selama 30 tahun. Mungkin atas faktor itu, saya dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kerjaya ini.