Aaron-Wooi Yik teruskan perjuangan Malaysia di Jepun

Aaron Chia-Wooi Yik meneruskan rentak konsisten apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023, pada Khamis. - Foto BAM
Aaron Chia-Wooi Yik meneruskan rentak konsisten apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023, pada Khamis. - Foto BAM
A
A
A

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak konsisten apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023, pada Khamis.

Dalam aksi di Gimnasium Yoyogi Tokyo itu, Aaron-Wooi Yik yang berstatus juara dunia tenang mengenepikan cabaran beregu Indonesia, Muhammad Shobul Fikri-Bagas Maulana, 21-12, 21-10 dalam masa 24 minit.

Kemenangan meyakinkan beregu nombor empat dunia ke atas pasangan 14 ranking dunia itu membolehkan mereka melebarkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Dua kejohanan sebelum ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik pernah melepasi ujian mereka tersebut di Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura bulan lalu.

Dalam pada itu, perjalanan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani disekat beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi apabila tewas 21-14, 21-17 dalam masa 35 minit

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mengikuti jejak apabila tewas 15-21, 13-21 kepada pilihan nombor satu kejuaraan dari China, Jia Yi Fan-Chen Qing Chen dalam masa 43 minit

Sementara itu, beregu nombor 18 dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin mengejutkan pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 15-21 21-18 21-16 dalam masa 64 minit.

Dalam pada itu, cabaran Ng Tze Yong berstatus 21 dunia yang menjadi harapan tunggal negara dalam acara perseorangan turut terhenti apabila tewas kepada bintang 33 dunia dari Jepun Koki Watanabe 21-17, 21-14 dalam masa 46 minit.