Kerajaan Madani mampu bertahan kerana dasarnya sederhana - Hassan

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Madani mampu bertahan sehingga kini kerana dasarnya yang mengambil pendekatan sederhana dan berada di garis tengah, bukan kiri ataupun kanan, tidak ekstrem atau eksklusif.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpendapat, politik sederhana dan mengambil kedudukan di jalur tengah itu adalah jalan terbaik untuk mewujudkan sebuah masyarakat adil, negara demokratik yang bersatu padu serta progresif.

"Orang Melayu Islam yang inginkan pendekatan ekstrem dan eksklusif seperti naratif yang dibawa oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tentu mencemuh dan mengkritik dasar Kerajaan Madani, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan sederhana.

"Dasar sempit, ekstrem dan eksklusif Perikatan Nasional (PN) ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin boleh mendapat sokongan sebahagian orang Melayu Islam di negeri-negeri di Pantai Timur dan di utara Semenanjung.

"Tetapi kebanyakan rakyat Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam di lain-lain negeri termasuk di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan lebih selesa dan mudah menerima dasar-dasar sederhana Kerajaan Madani," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mendakwa, dasar-dasar yang ekstrem dan eksklusif Pas dan Bersatu melalui PN tidak dapat menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, itu satu kelemahan besar PN, sebaliknya kesungguhan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar yang ingin melaksanakan Perjanjian Malaysia tahun 1963 adalah antara punca penting kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bertahan.

"Ini satu kekuatan teras kerajaan Malaysia Madani. Jika Perdana Menteri dapat menghayati intipati pemerintahan Persekutuan atau federalisme yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri, wilayah-wilayah dengan kekuasaan kerajaan Pusat maka sokongan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar akan meningkat," katanya.

Teras tersebut katanya, jika diterima baik rakyat secara umum di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah serta Sabah dan Sarawak sekali gus akan memperkukuhkan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.

Hassan mendakwa, masyarakat Islam dan bukan Islam mula membuka mata dan cuba memahami konsep serta falsafah Madani yang dibawa Anwar.

"Falsafah Madani yang bersumber dari tradisi, sejarah, budaya dan ajaran Islam bersifat universal yang mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan, menegakkan hak asasi manusia, prinsip integriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran adalah jawapan yang ampuh untuk menangani ideologi politik ekstrim, eksklusif atas nama kaum dan agama dibawa Pas dan Bersatu," ujar beliau.

Katanya, PN yang mengambil garis politik kanan dan ekstrem sukar untuk mendapat sokongan majoriti rakyat sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ujar Hassan, jika Kerajaan Madani terus komited dalam ucapan dan tindakan untuk memerangi rasuah, memulihkan ekonomi rakyat dan negara serta memperbaiki sistem tata kelola pentadbiran termasuk menghasilkan perubahan dalam kehidupan material rakyat dalam menangani isu kos sara hidup, maka masa depan kerajaan pimpinan Anwar mempunyai harapan untuk terus bertahan.