Calon Tanjong Mas, PH Kelantan serah pimpinan tentukan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyerahkan kepada pimpinan pusat bagi menentukan calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas pada pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain berkata, berdasarkan persetujuan awal, kerusi berkenaan diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan.

"Tetapi apabila calon Amanah diletakkan di DUN Kota Lama, secara dasarnya kerusi Tanjong Mas akan diberikan kepada PKR.

Buat masa ini belum ada sebarang ketetapan, kita biar pimpinan pusat buat keputusan," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Ahad lepas, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu majlis pengumuman calon di sini mengumumkan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim akan bertanding di DUN Kota Lama.

Pada PRN nanti, PH yang merangkumi Amanah dan PKR akan bertanding di 14 kerusi daripada 45 kerusi DUN Kelantan, manakala rakan sekutu PH iaitu Barisan Nasional (BN) pula meletakkan calon di 31 kerusi.

Dalam pada itu, Muhammad yang juga Pengerusi Amanah negeri berkata PH dan BN Kelantan turut mengumumkan manifesto kedua-dua gabungan kepada rakyat Kelantan sempena PRN kali ini dalam satu majlis yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama