Empat jambatan di Temerloh makin uzur

Mohd Anuar (tengah) melawat Jambatan Gantung Sungai Dingin dekat Kampung Mambang Berulang yang rosak.
Mohd Anuar (tengah) melawat Jambatan Gantung Sungai Dingin dekat Kampung Mambang Berulang yang rosak.
A
A
A

TEMERLOH - Empat jambatan di daerah ini berada dalam perhatian kerana keadaannya yang uzur dan rosak.

Jambatan di Sungai Dingin, Dala, Kelubi dan Mambang Berulang berusia lebih 30 tahun.

Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir berkata, buat masa ini pihaknya menggunakan peruntukan sendiri untuk memperbaiki kerosakan kecil buat sementara waktu.

“Kita melakukan kerja-kerja pemulihan sementara waktu. Kita akan berunding dengan pihak agensi, jabatan berkaitan dan kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Jambatan Gantung Sungai Dingin dekat Kampung Mambang Berulang yang berdepan pelbagai masalah antaranya kerosakan plat besi pada strukturnya di sini kelmarin.

Mohd Anuar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keadaan jambatan itu beberapa hari lalu.

“Kita mendapat maklumat keadaan jambatan ini dikhuatiri boleh terjadi apa-apa kepada penduduk.

“Saya telah arahkan wakil dari Pejabat Ahli Parlimen untuk melihat sendiri keadaannya dan hari ini (kelmarin) saya berpeluang melihat sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Biro Infrastruktur kampung itu, Mahadzir Ibrahim berkata, kerosakan dialami jambatan itu semakin ketara kebelakangan.

Menurutnya, jambatan itu menjadi laluan utama kira-kira 300 penduduk kampung itu.