Calon PN Selangor: Azmin tanding Hulu Kelang, Rina di Batu Tiga

Azmin Ali, Rina Harun
Azmin Ali, Rina Harun
A
A
A

PETALING JAYA - Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di kesemua 56 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengumuman calon disempurnakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program di padang Jalan PJS 2D/16 Taman Medan di sini pada Rabu malam.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal mengetuai calon PN Selangor dengan bertanding di Hulu Kelang menentang calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli.

Selain itu, Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yunus Hairi diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Sijangkang manakala Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari kekal di Selat Klang.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula diletakkan PN bagi kerusi Batu Tiga menentang calon PH-Amanah, Danial Al Rasyid.

Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib yang tewas pada PRU14, dicalonkan semula bagi kerusi Taman Templer.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar juga dicalonkan bagi kerusi Kota Anggerik menentang Najwan Halimi.

Turut hadir pada malam pengumuman calon PN Selangor ialah Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agong PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Gerakan Selangor, Teo Kian Feng.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, semua calon telah disaring oleh jawatankuasa pemilihan dan nama dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

"Mereka mesti lepasi saringan empat saringan utama iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi. Semua nama calon disebu. melepasi saringan itu

"Proses pemilihan tidak mudah kerana mengambil masa yang panjang. Nama calon yang telah dikemukakan berdasarkan kerusi yang dirundingi dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan melibatkan persefahaman yang tinggi," katanya.