Buli atlet: Polis rakam percakapan pengetua, pelajar

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Yahaya
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Yahaya
A
A
A

IPOH - Polis telah merakam percakapan tiga individu termasuk pengetua berhubung kejadian buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang juga atlet sukan sepak takraw, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, keterangan itu turut melibatkan dua pelajar lain bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

"Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya berusia 15 tahun telah dibuli beberapa kali oleh seorang pelajar senior Tingkatan 5 di asrama sekolah.

"Pelajar berusia 17 tahun itu telahpun dikenal pasti dan telah diarahkan tidak menetap di asrama sekolah sementara menunggu siasatan dalaman pengurusan sekolah," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur telah mengalami kecederaan tisu lembut akibat dipukul dalam kejadian itu.

"Mangsa telah menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mengesahkan seorang pelajar sebuah sekolah sukan di daerah Kinta cedera akibat dibuli.

Dalam kejadian itu, mangsa difahamkan telah ditendang dan dipijak.