Ceroboh tanah haram, dalang patut didakwa - Aktivis

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Shukri
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Shukri
A
A
A

KUANTAN - Dalang di sebalik jenayah pencerobohan tanah haram di Pahang seharusnya dibawa ke muka pengadilan, bukan hanya mereka yang menceroboh sahaja dikenakan tindakan mahkamah.

Aktivis kemasyarakatan, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, apa berlaku hari ini, penceroboh sebenar tanah jarang ditangkap mahupun dikenakan tindakan, sebaliknya hanya pekerja warga asing yang diupah pula menjadi mangsa penahanan pihak berkuasa.

"Jika tangkap dan dakwa penceroboh sahaja, isu tidak akan selesai kerana dalang akan tetap beroperasi dengan pihak lain pula selepas itu.

"Pembersihan ini perlu dilakukan dari dalam, bukan sekadar melihat lokasi yang diceroboh semata-mata.

"Jika tidak isu mendakwa penceroboh ini tidak akan bertahan lama kerana tiada sokongan serius daripada pegawai kerajaan di lapangan. Inilah yang menyebabkan ia terus berakar umbi dan berleluasa di negeri ini," katanya pada Rabu.

Justeru, beliau menggesa kerajaan dan agensi terlibat turut menjejaki, menangkap, mendakwa dalang yang selama ini jadi pengkhianat dan makan hasil atas isu pencerobohan haram di Pahang.

Jelasnya, pencerobohan tidak akan berlaku jika tiada maklumat yang disalurkan oleh orang dalam terutama mereka yang bekerja di jabatan yang berkaitan.

"Perkara ini sudah lama dan mereka yang terlibat sudah kaya-raya terima imbuhan bulanan daripada para penceroboh haram. Inilah punca yang perlu dikenal pasti dan diambil tindakan sebenarnya.

"Sampai bila harus dibiarkan dalang ini ambil kesempatan dan hidup senang lenang. Bukan seorang dua yang terlibat, malah ia sudah jadi 'kartel tanah' dari atas sampai ke bawah main peranan. Sebab itulah penceroboh tidak takut dan dengan berani melakukannya," dakwa beliau lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan Pahang untuk turun padang bagi memastikan hasil negeri tidak mengalir ke kantung penceroboh dan dalang yang terlibat begitu sahaja.

Dakwa beliau, kerajaan rugi apabila gagal mengutip hasil cukai, tapi mereka kaya raya makan hasil jutaan ringgit setiap tahun.

"Inilah yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan sebenarnya," katanya.

Pada Sabtu, Wan Rosdy memberitahu tiada lagi kompaun akan dikenakan sebaliknya individu yang dikesan terlibat aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang akan terus didakwa di mahkamah.

Menteri Besar itu dilaporkan berkata, ia merupakan tindakan tegas dalam usaha mengekang aktiviti penerokaan tanah haram di negeri ini.

Kenyataan itu turut disokong Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) yang mahu kerajaan Pahang bertegas dan menyerahkan kepada mahkamah untuk 'menghukum' penceroboh tanah haram, bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab dihukum berlandaskan undang-undang.