Beri alasan guna motosikal rakan elak ditahan JPJ

Pegawai imigresen memeriksa seorang warga asing menerusi operasi dijalankan JPJ Selangor di beberapa lokasi di negeri ini.
Pegawai imigresen memeriksa seorang warga asing menerusi operasi dijalankan JPJ Selangor di beberapa lokasi di negeri ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai alasan termasuk motosikal ditunggang dipinjam daripada rakan antara taktik digunakan penunggang motosikal warga asing yang dikesan menerusi operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Selangor pada Isnin.

Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) ini disertai seramai 54 anggota dan pegawai JPJ Selangor dan enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar lokasi Puchong, Klang, Paya Jaras dan Seri Kembangan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi dijalankan melibatkan secara statik dan rondaan.

"Operasi dijalankan bermula jam 8 pagi ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 251 kenderaan dan 296 saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

"Selain itu, tangkapan turut dijalankan pihak Jabatan Imigresen Malaysia melibatkan lima lelaki warga asing," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Antara motosikal yang dipercayai ditunggang warga asing ditahan menerusi operasi dijalankan JPJ Selangor di beberapa lokasi di negeri ini.
Antara motosikal yang dipercayai ditunggang warga asing ditahan menerusi operasi dijalankan JPJ Selangor di beberapa lokasi di negeri ini.

Menurutnya, operasi ini memfokuskan kenderaan yang dipandu atau ditunggang warga asing.

"Risikan di beberapa lokasi mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh pemandu serta penunggang warga asing terutama tidak memiliki lesen memandu.

"Selain itu, kesalahan lain turut dikesan melibatkan cukai kenderaan tamat tempoh, tiada insurans dan pelbagai lagi," katanya.

Ahmad Kamarunzaman berkata, kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing merupakan milik warga tempatan.

"Saya meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan.

"Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan. Mereka juga perlu hadir ke JPJ jika kenderaan disita," katanya.

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan ditetapkan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peraturan jalan raya.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.