PRN: TNB larang gantung bahan kempen di premis, tiang elektrik

Semua parti politik tidak dibenarkan untuk memasang bahan kempen di premis dan kawasan pemasangan elektrik milik TNB. (Gambar hiasan) - Gambar kecil: Wan Nazmy
Semua parti politik tidak dibenarkan untuk memasang bahan kempen di premis dan kawasan pemasangan elektrik milik TNB. (Gambar hiasan) - Gambar kecil: Wan Nazmy
A
A
A

SHAH ALAM - Sepanjang berlangsungnya tempoh berkempen, semua parti politik tidak dibenarkan untuk memasang bahan kempen di premis dan kawasan pemasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, perkara itu dilarang kerana pemasangan bahan-bahan seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk akan mengganggu kerja penyelenggaraan.

“Larangan ini termasuklah menampal atau menggantung bahan di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

“Bukan itu sahaja, orang ramai dinasihatkan agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera diperbuat daripada buluh kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Nazmy berkata, aktiviti berbahaya itu juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya serta masalah kepada pengguna.

Pada masa sama, beliau turut memohon kerjasama semua pihak agar mengelak daripada melakukan kerja pengorekan tanah bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan.

“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik. Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis-premis penting sepanjang proses pilihan raya ini seperti pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Nasihat kami agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat agar semua prosedur dan tatacara dipatuhi sekali gus mengurangkan risiko gangguan,” katanya.

Tambah Wan Nazmy, orang ramai yang berhadapan situasi mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera hubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.