Skuad ragbi wanita Labuan galas cabaran negara di Nepal

Skuad ragbi wanita Labuan ketika beraksi di Kejohanan Ragbi Wanita B-20, Ipoh baru-baru ini. FOTO FACEBOOK BES LABUAN
Skuad ragbi wanita Labuan ketika beraksi di Kejohanan Ragbi Wanita B-20, Ipoh baru-baru ini. FOTO FACEBOOK BES LABUAN
A
A
A

PEMAIN ragbi wanita Labuan teruja bakal membawa cabaran negara ke Kejohanan Ragbi Wanita Bawah 20 (B-20) 2023 di Kathmandu, Nepal pada 17 hingga 24 Ogos ini, susulan pengumuman senarai pemain oleh Kesatuan Ragbi Malaysia baru-baru ini.

Presiden Persatuan Ragbi Labuan (LRA) Rashid Adlie berkata, pihaknya telah diberi kepercayaan untuk menyenaraikan pemain bagi kejohanan tersebut.

“Daripada 15 pemain, 10 adalah daripada Labuan, dua masing-masing daripada Terengganu dan Sarawak, dan seorang daripada Selangor.

“Dengan anggota pasukan yang diisi dengan pemain berbakat dan berpengalaman, pasukan ragbi kebangsaan menyasarkan untuk mendominasi kejohanan serantau dan membawa pulang kejuaraan berprestij itu,” katanya pada Selasa.

Kejohanan Ragbi Wanita B-20 akan menyaksikan pasukan Malaysia menampilkan kemahiran dan semangat kesukanan mereka dalam menentang lawan yang lebih kuat daripada Asia.

Rashid yang dilantik sebagai pengurus pasukan berkata proses pemilihan diadakan dengan ketat memandangkan ia melibatkan atlet-atlet terbaik negara.

“Atlet-atlet ini telah menunjukkan dedikasi, kemahiran dan kerjasama berpasukan yang hebat sepanjang proses pemilihan, saya yakin dengan keupayaan mereka untuk bertanding pada peringkat tertinggi dan mengharumkan nama negara.

“Berbaki beberapa minggu sahaja sebelum perlawanan, atlet-atlet berbakat ini akan menjalani kem latihan berpusat minggu depan di Labuan sebagai persediaan,” katanya.

Mengetuai pasukan pemain handalan Labuan Zaryssa Awang Daniel sebagai kapten dan Mary Teresa (kapten simpanan).

Turut tersenarai pemain sayap Siti Nursyamimi Tajudin dan Nur Alyia Nabilla Samsubahari daripada Terengganu yang dikenali dengan kelajuan dan kecekapan mereka meloloskan diri daripada barisan pertahanan. - Bernama