Kematian kanak-kanak: Polis semak rakaman CCTV HTAR

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi siasatan lanjut berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini siasatan dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk semakan CCTV dan rakaman percakapan pelbagai individu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian turut disemak bagi tujuan penelitian lanjut.

"Selain itu, seramai 19 individu turut dirakam keterangan melibatkan doktor, ibu bapa, jiran dan pihak sekolah mangsa serta saksi polis yang berada di pondok HTAR," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Hussein berkata, polis kini sedang menunggu laporan penuh forensik mengenai kematian mangsa.

Pada 14 Julai lalu, HTAR menerusi kenyataan menyatakan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital itu.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, perkara itu dirujuk selepas video terbabit tular di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN:

HTAR siasat kematian kanak-kanak

Kematian kanak-kanak: Polis siasat hospital, penjaga