Hasnal digesa letak jawatan Pesuruhjaya Suhakam

Hasnal Rezua Merican - Foto suhakam.org.my
Hasnal Rezua Merican - Foto suhakam.org.my
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] CSO Platform for Reform menegaskan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) perlu kekal bebas daripada politik bagi menjaga prinsip akauntabiliti dan menghormati hak asasi manusia.

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, pelantikan seorang pemimpin politik dalam suruhanjaya itu menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasannya dan keupayaan berfungsi tanpa pengaruh dari luar.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Hasnal Rezua Merican Habib Merican meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Suhakam kerana beliau telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi kerusi Kuang pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos depan.

“Suruhanjaya ini mesti bebas daripada sebarang pengaruh politik dan eksekutif, lebih-lebih lagi parti yang disertai oleh Hasnal merupakan sebahagian daripada kerajaan Malaysia hari ini.

“Potensi untuk percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’ menimbulkan kebimbangan yang lebih mendalam,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Barisan Nasional (BN) mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor menjelang PRN akan datang.

Katanya, tujuh lagi kerusi lain di negeri ini telah disahkan selepas mengadakan rundingan dan memuktamadkan pengagihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus telah mencalonkan Hasnal sebagai Ketua UMNO Bahagian Selayang.

Justeru, CSO Platform for Reform menegaskan keperluan untuk meneliti semuka pelantikan pesuruhjaya baharu yang dibuat tahun lepas kerana pemimpin politik tidak sepatutnya dilantik bagi menjamin kebebasan Suhakam.

“Langkah peletakan jawatan ini penting bagi melindungi kebebasan dan kredibiliti suruhanjaya itu serta menunjukkan komitmen terhadap promosi termasuk perlindungan hak asasi manusia,” ujarnya.