Iktiraf peranan Wanita

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Pelbagai inisiatif dan keistimewaan diberikan kepada wanita menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Kerajaan pada Februari lalu.

Pertumbuhan ekonomi dijangka lebih giat dengan penyertaan rancak kaum wanita terutama dalam industri perniagaan.

Peruntukan sebanyak RM235 juta disediakan bagi Dana Pembiayaan Perniagaan Wanita seperti Mikro Kasih: MikroNita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA Mara dan BR Plus: i-Biz Lady Bank Rakyat.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keprihatinan kerajaan itu adalah wajar bagi menggalakkan wanita menceburi bidang perniagaan.

Katanya, dengan adanya pelbagai dana dan bantuan keusahawanan daripada kerajaan, ia dapat membantu usahawan wanita di Malaysia memperluaskan perniagaan selain memulihkan perniagaan yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

DR AIMI ZULAZMI
DR AIMI ZULAZMI

“Kita ramai usahawan wanita yang berbakat tetapi tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Ini menjadi masalah pada peringkat akar umbi iaitu perniagaan mikro kecil dan sederhana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau menyarankan golongan wanita yang berhasrat menjadi usahawan supaya melibatkan diri dan menganggotai mana-mana persatuan atau pertubuhan berkaitan keusahawanan.

“Kerajaan memandang serius tentang potensi golongan wanita dalam bidang keusahawanan ini.

“Pelbagai peluang telah dibuka untuk membantu peniaga memasarkan produk serta perkhidmatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Jadi, penting untuk mereka mendapatkan lebih banyak ilmu perniagaan dan maklumat baharu seiring dengan peredaran masa,” ujar Aimi Zulhazmi.

IPR suntik semangat peniaga kecil Wanita

Bantuan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melalui tiga komponen iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) bertujuan menyuntik semangat usahawan untuk terus mengembangkan dan memajukan perniagaan.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, IPR adalah strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan.

HAZLINA
HAZLINA

Pemilik ketering, Hazlina Asaruddin, 58, berterima kasih kepada kerajaan dan teruja apabila terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan IPR.

Katanya, peniaga kecil sepertinya diberi mesin layan diri atau ‘vending machine’ di tempat yang telah dipilih dan sewa bulanan tapak akan ditanggung oleh kerajaan untuk tempoh dua tahun.

“Selepas tempoh tersebut, mesin berkenaan akan diserahkan sepenuhnya kepada penerima. Saya dapat mesin yang ditempatkan di Kolej Kediaman Causarina 1, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam,” katanya.

Mesin layan diri beliau menawarkan nasi lemak, mihun goreng, pulut kuning, sandwic serta pelbagai jenis roti dan kek dengan harga RM1 hingga RM5 mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kami ada satu ‘Apps’ untuk akses dan menukar setiap item jualan makanan. Sebarang perubahan menu boleh dilakukan di ‘apps’ yang disediakan itu,” ujarnya.

Tambahnya, pembiayaan IPR di bawah peruntukan Belanjawan 2023 sangat membantu peniaga kecil menambah pendapatan.

“Sebelum ini saya hanya mempromosikan produk melalui Facebook dan Instagram, namun apabila kerajaan mengumumkan Belanjawan 2023 dan menyediakan bantuan ini, ia memberi peluang kepada saya meluaskan pasaran.

“Di samping itu, ia juga membantu golongan pelajar kurang berkemampuan mendapatkan makanan harga mampu milik serta berkualiti. Belanjawan 2023 jelas memberi manfaat secara menyeluruh tanpa melibatkan satu pihak semata-mata,” ujarnya.

Teruja terima bantuan untuk modal pusingan

Hayatie mampu mengembangkan perniagaan makanan hasil bantuan dana TEKUN.
Hayatie mampu mengembangkan perniagaan makanan hasil bantuan dana TEKUN.



Usahawan, Hayatie Abdul Aziz, 47, menyifatkan suntikan modal pusingan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sangat membantu untuk mengembangkan perniagaannya.

Hayatie yang pernah mengalami kejatuhan dalam perniagaan mampu bangkit semula apabila dibantu oleh TEKUN Nasional.

Katanya, suntikan modal itu sangat bermakna apabila perniagaan restoran yang diusahakan sejak 2019 semakin maju dan berkembang.

“Kini, saya mempunyai dua cawangan restoran selepas merosot akibat wabak Covid-19. Saya buat permohonan Skim Pinjaman Sederhana daripada TEKUN Nasional dan Alhamdulillah ia dipermudahkan,” katanya.

Tambah Hayatie, peluang yang diberikan kerajaan itu dianggap satu langkah terbaik untuk usahawan kecil sepertinya lebih maju.

“Saya buat pinjaman dengan TEKUN sebanyak RM50,000 dan perlu membayar RM1,200 sebulan dalam masa lima tahun. Dalam keadaan memerlukan duit untuk selamatkan perniagaan, siapa yang tidak gembira apabila ada pihak membantu.

“Mahu buat pinjaman di bank bukannya mudah memandangkan banyak prosedurnya. Namun, melalui TEKUN Nasional ia benarbenar memudahkan kami golongan usahawan kecil,” ujarnya.

Tambah Hayatie, Belanjawan 2023 dilihat banyak membantu usahawan mikro dan penjaja kecil dalam menyediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi tertentu seperti TEKUN Nasional.

No Image Caption

BANTUAN YANG DISEDIAKAN KEPADA USAHAWAN WANITA:

* Mikro Kasih: MikroNita oleh BSN

* Tekunita oleh TEKUN

* DanaNITA oleh MARA

* BR Plus: i-Biz Lady oleh Bank Rakyat

MANFAAT LAIN:

Sebanyak RM300 juta dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Layari belanjawan.mof.gov. my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.

#Belanjawan 2023

#BelanjawanMADANI