Klinik 1Malaysia di PPR tidak ditutup

Dr Dzulkefly (kiri) beramah mesra dengan seorang peserta konvensyen yang menderma darah.
Dr Dzulkefly (kiri) beramah mesra dengan seorang peserta konvensyen yang menderma darah.
A
A
A
IPOH - Kementerian Kesihatan tidak merancang untuk menutup Klinik 1Malaysia yang beroperasi di kawasan projek perumahan rakyat (PPR).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 34 klinik yang dicadangkan ditutup membabitkan premis yang tidak terletak dalam penempatan PPR.

Menurutnya, semua klinik terbabit sebaliknya dikategorikan tidak memenuhi syarat ditetapkan kementerian antaranya mempunyai kehadiran kurang daripada 40 pesakit sehari dan ada perkhidmatan klinik lain dalam lingkungan jarak 5km.

"Daripada 347 Klinik 1Malaysia yang ada, kita bercakap mengenai 34 sahaja yang kita tidak memenuhi syarat ditetapkan.

"Jika klinik di PPR, kita akan teruskan untuk memberi keperluan rawatan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya ketika ditemui di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengkritik keputusan kerajaan menutup 34 Klinik 1Malaysia atas alasan kos tidak efektif.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan kerajaan tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi kerana Klinik 1Malaysia bukannya perniagaan, sebaliknya perkhidmatan yang disediakan demi kebajikan serta keperluan rakyat.

Dr Dzulkefly berkata, penutupan sebilangan kecil Klinik 1Malaysia dibuat bukan atas fakfor kos semata-mata, sebaliknya tidak mahu ketidak keberkesanan dalam merawat rakyat, berterusan.

Menurutnya, salah satu kelemahan di Klinik 1Malaysia sebelum ini apabila perkhidmatan diberikan tidak dapat mengesan tanda awal penyakit kronik.
Artikel Berkaitan:


"Kita sekarang bercakap mengenai keupayaan mengesan penyakit awal, jadi rakyat perlu dapatkan satu rawatan yang membolehkan mereka berjumpa doktor.

"Kerana itu, sekiranya klinik-klinik 1Malaysia tidak lagi dapat memenuhi apa yang munasabah dalam rawatan kepada rakyat, kita terpaksa tutup dan gantikan dengan satu yang jauh lebih baik," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, kementerian kini sedang dalam proses mendapatkan peruntukan bagi pelaksanaan klinik komuniti menggantikan Klinik 1Malaysia seperti dicadangkan sebelum ini.

“Klinik dilengkapi dengan kemudahan lebih baik iaitu mempunyai doktor, perkhidmatan farmasi dan kebolehan untuk menjalani diagnosis awal itu dijangka dapat direalisasikan menjelang pertengahan tahun depan.

Ini yang kerajaan sangat peka dan untuk menjaga kesihatan rakyat, apa juga langkah kita ambil akan bincang bersama Jabatan Kesihatan negeri, bukannya terburu-buru. Jadi mantan perdana menteri tak perlulah terlalu fokus pada kesihatan sebab kita akan lakukan lebih baik, bukan bersifat mi segera punya program," katanya.