Persidangan ET himpun pakar tempatan, antarabangsa

Baharin Din
Baharin Din
A
A
A

PERSIDANGAN Peralihan Tenaga (ET) yang akan berlangsung bulan depan membariskan pakar-pakar terkenal dalam pelbagai bidang berkaitan industri tenaga dan kelestarian bagi berkongsi idea, pandangan, ramalan serta perspektif mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Baharin Din berkata, persidangan tersebut bakal menjadi wadah yang merangsang fikiran peserta menerusi perkongsian topik penting dalam peralihan tenaga selain landskap industri yang sentiasa berubah.

Antara barisan penceramah yang dijadualkan hadir ialah Ketua Pegawai Ekonomi dan Pengarah Urusan Kanan, Institut Ekonomi Tenaga Jepun (IEEJ), Dr Ken Koyama; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Octopus Energy Group, Greg Jackson dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera.

Selain itu turut dijangka hadir ialah Naib Presiden Bank Pembangunan Asia, Ashok Lavasa; Naib Presiden Kanan Lux Research, Dr Arij van Berkel; Pengarah Prinsipal Hijjas Kasturi Associates Sdn Bhd, Serina Hijjas; dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah AO.

“Ken dan Ashok akan menyertai panel pemimpin industri termasuk Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Zarihi Hashim dan Ketua Kelestarian Maybank, Shahril Azuar Jimin untuk membincangkan ‘The Price of Going Green’ iaitu bagaimana peralihan tenaga dapat dibiayai dengan cara bertanggungjawab dan lestari.

“Abdul Razib akan menyertai dialog bertemakan ‘Forward-thinking Policies & Regulations that Shape the Energy Transition’ yang mana beliau memaparkan kepentingan dasar dan peraturan dalam memacu pembangunan tenaga lestari.

“Francesco pula akan bercakap mengenai ‘Closing the RE Loop: Bridging the Net Zero Transition through Circular Economy Strategies’ dengan berkongsi pandangan bagaimana misi peralihan tenaga boleh dicapai dengan efisien dan lestari,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Baharin berkata, peserta juga boleh memanfaatkan kejayaan Greg dalam menerajui satu daripada penyedia bekalan elektrik di Britain menerusi perkongsian pengalaman dalam teknologi dan data boleh digunakan secara inovatif untuk industri dan pelanggan.

Beliau turut memaklumkan, Jeffrey dijadualkan berkongsi mengenai pembangunan lestari melalui bisnes dan nilai keprihatinan.

"Serina akan mendalami 'Smart Green Cities of the Future from the eyes of an architect' dan perspektif unik mengenai pembangunan perbandaran mampan, manakala Dr Arij menekankan peranan teknologi dalam 'Empowering the Energy Transition' yang memacu perubahan dalam sistem tenaga lestari.

"Ringkasnya, persidangan ini akan memperincikan strategi merangkumi polisi-polisi transformasi, peraturan dan insentif kewangan dalam memacu agenda peralihan tenaga," jelasnya.

Persidangan ET akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dijangka menghimpunkan golongan pemimpin, pakar, pemain industri, penggubal dasar dan pemimpin komuniti untuk penghuraian mengenai cabaran dalam peralihan tenaga.

Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan berkenaan termasuk pendaftaran dan atur cara penuh, boleh layari laman web https://the-etconference.com/.