'Kaji semula akta pengangkutan jalan, denda dan penjara' - Lam Thye

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Lee Lam Thye (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Lee Lam Thye (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah denda, kompaun dan tempoh hukuman penjara terhadap pesalah jalan raya perlu ditambah sebagai pengajaran kepada mereka agar lebih berdisiplin ketika memandu.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam hal itu, Kementerian Pengangkutan perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula mana-mana kelemahan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang perlu ditambah baik.

Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang masih mengambil ringan terhadap undang-undang menyebabkan mereka gagal mematuhi isyarat lalu lintas serta melebihi had laju sehingga menjadi punca kemalangan.

“Saya boleh katakan secara spesifik, bagi penunggang motosikal, tujuh daripada 10 dalam kalangan mereka melanggar lampu isyarat tanpa mementingkan keselamatan diri sendiri.

"Kegagalan mematuhi undang-undang, kekurangan fokus semasa memandu kerana menggunakan telefon bimbit atau rokok elektronik serta tahap kefahaman keselamatan jalan raya yang rendah menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan dalam negara.

“Justeru, penguatkuasaan perlu diperketatkan supaya kejadian yang sama tidak berulang kembali," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan, negara mencatatkan purata sebanyak 66 kes dalam tempoh setiap satu jam atau 1,573 kes kemalangan sehari bermula 1 Januari sehingga 30 Jun tahun ini.

Rekod tersebut sekali gus mencatatkan purata kadar kemalangan sebanyak 11,795 kes bagi setiap minggu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim dilaporkan berkata, jumlah itu turut menyaksikan peningkatan sebanyak 13.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lam Thye menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak menyedari bahawa keselamatan bermula daripada diri sendiri kerana kelajuan adalah penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Pengguna jalan raya perlu memberi sepenuh perhatian terhadap gaya pemanduan dengan tidak membahayakan nyawa orang lain.

“Sekiranya terlibat dalam kemalangan, orang ramai tidak patut menyalahkan pihak berkuasa sahaja, sedangkan kecuaian itu turut berpunca daripada mereka juga,” ujarnya.