Henjutan terakhir julang Aiman

Aiman (tengah) diapit Nur Aiman (kiri) dan Irwandie selepas majlis penyampaian pingat Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Bukit Katil pada Ahad.
Aiman (tengah) diapit Nur Aiman (kiri) dan Irwandie selepas majlis penyampaian pingat Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Bukit Katil pada Ahad.
A
A
A

KAYUHAN bertenaga kira-kira 150 meter (m) terakhir menyaksikan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Bukit Katil, Melaka pada Ahad.

Dicabar hebat pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli yang memenangi pingat emas acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki pada Jumaat lalu, Aiman terlebih dahulu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 27 minit 49 (s).

Nur Aiman yang turut merakamkan masa sama terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang pingat perak, manakala seorang lagi pelumba TSG, Irwandie Lakasek pula menamatkan perlumbaan sejauh 182 kilometer (km) itu dengan catatan 4:29.51s.

“Saya memang meletakkan sasaran untuk muncul juara kebangsaan tahun ini selepas tidak bersaing dalam acara yang sama (lepas beramai-ramai elit lelaki) di Manong, Perak tahun lalu.

“Ketika perlumbaan berbaki 150m, saya memang push habis-habisan menuju garisan penamat. Syukur Alhamdulillah akhirnya saya berjaya mencapai sasaran untuk muncul juara.

“Terima kasih kepada semua terutama pengurusan dan rakan-rakan pasukan yang membolehkan strategi dapat dilakukan dengan baik sepanjang saingan,” katanya kepada pemberita.

Sebelum perlumbaan bermula, Aiman yang juga Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dan 2022 disebut-sebut antara pelumba pilihan bagi menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki kali ini.

Selaku pemenang pingat emas Sukan SEA 2022 di Vietnam, Aiman membuktikan kredibilitinya untuk menjuarai acara tersebut, sekali gus mengetepikan rakan sepasukannya, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang turut menjadi calon hangat bagi merebut jersi putih selaku juara kebangsaan.

Kategori elit wanita pula menyaksikan pelumba Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir melakar kejayaan hatrik meraih pingat emas selepas mencatatkan masa 2:22.37s.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari dan wakil Johor, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad apabila masing-masing turut merekodkan catatan sama.

Terdahulu, bekas pelumba kebangsaan, Anuar Manan menampilkan kayuhan memukau apabila mengungguli acara lepas beramai-ramai Master A lelaki.

Pada perlumbaan sejauh 78km itu, Anuar yang juga Raja Pecut Jelajah Malaysia 2007, 2008 dan 2009 unggul dengan catatan masa 1:50.32s.

Bekas jurulatih kebangsaan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan dari Terengganu pula muncul juara dalam acara Master B lelaki dengan catatan masa 1:51:53s.