Kerajaan akan sedia pusat hemodialisis di Felda mudahkan peneroka

Anwar (tiga dari kanan) bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat zohor sewaktu hadir pada Program Sentuhan MADANI Felda Daerah Gua Musang di Masjid Al-Ghufran, Chiku 5/6 pada Ahad. - Foto: Bernama
Anwar (tiga dari kanan) bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat zohor sewaktu hadir pada Program Sentuhan MADANI Felda Daerah Gua Musang di Masjid Al-Ghufran, Chiku 5/6 pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A
GUA MUSANG - Kerajaan akan menyediakan pusat dialisis di Felda Chiku 3 bagi memudahkan peneroka yang menghidap penyakit buah pinggang mendapatkan rawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana peneroka di tanah rancangan berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Di Felda ini iaitu di Hulu Kelantan, kita mengumumkan akan mengadakan Pusat Dialisis di Chiku 3 kerana peneroka susah untuk pergi ke hospital,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi fokus terhadap isu pemilikan tanah bagi generasi baharu Felda yang memerlukan keterlibatan kerajaan negeri.

"Kita harap ada perubahan supaya kerajaan negeri boleh betul-betul bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perubahan bagi peneroka generasi baharu ini," katanya.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata beliau turut memberi perhatian kepada masalah liputan Internet dan baik pulih tandas sekolah di kawasan tanah rancangan Felda.

"Saya akan bertemu dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) bagi memperelokkan tandas di sekolah," katanya. - Bernama