Bertrand boleh dipertimbang sertai RTG - Hannah

Bertrand dan Hannah - Foto: Bernama
Bertrand dan Hannah - Foto: Bernama
A
A
A

PENCAPAIAN dicipta penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun membolehkannya dipertimbang untuk disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa RTG berkata, penerjun berusia 18 tahun itu berpeluang disenaraikan memandangkan program berkenaan akan melalui proses penilaian secara berkala.

Hannah berkata, beliau cukup gembira dengan prestasi dipamerkan atlet kelahiran Sarawak itu selepas muncul atlet pertama Malaysia berjaya layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan menduduki tempat ke-10 pada saingan final 10 meter (m) platform lelaki.

Beliau percaya prestasi Bertrand dipengaruhi pengalaman dan keyakinan yang diraihnya sewaktu bertanding pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lepas yang menyaksikan beliau merangkul pingat perak 10m platform lelaki sekali gus memastikan kedudukan podium 1-2 buat Malaysia.

“Saya berharap dari sekarang sehingga tahun depan ada lagi kejutan seperti ini (pencapaian Bertrand), ia adalah kejutan yang bagus bagi kita dan RTG akan bagi sokongan kepada semua (atlet) yang mempunyai potensi untuk memenangi pingat emas (di Olimpik).

“Sekarang kita sudah nampak ada pelapis berbakat, ini perkembangan yang sangat bagus untuk sukan terjun Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kejohanan Artalive Challenge Cup Amputee Football 2023 di Shah Alam pada Ahad.

Khamis lepas, Hannah mengesahkan prestasi dan kemajuan atlet dalam RTG akan dinilai semula bagi menentukan kedudukan mereka dalam program itu pada September ini.

Pada Jun lepas, skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi ahli terbaharu RTG sebagai persediaan mengharungi Sukan Asia Hangzhou 2023 pada September ini yang merupakan medan kelayakan ke Olimpik Paris. - Bernama