Peruntukan RM100 juta baik pulih kuarters, fasiliti PDRM

Sahabudin - Foto Bernama
Sahabudin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan bagi membaik pulih dan menyelenggara kuarters serta fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara, kata Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk selenggara kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Katanya, peruntukan itu akan diagihkan kepada kontinjen PDRM seluruh negara berdasarkan kepada permohonan yang dibuat.

"Pembahagian itu mengikut keutamaan iaitu mana yang lebih daif itu yang kita dahulukan, jadi sekarang kita buat penilaian di peringkat kontinjen.

"Kita sudah mempunyai senarai kerja (penyelenggaraan) yang akan dilaksanakan, cuma kita perlu ikut keutamaan kerana masih ada yang tidak boleh dilakukan mengikut peruntukan sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Katanya, antara perkara yang menjadi tumpuan dalam peruntukan ini adalah kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan kuarters, balai polis, pondok polis termasuk pagar, jalan laluan, dewan, tandas dan lain-lain fasiliti untuk kemudahan warga PDRM.

Anwar sebelum ini mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur milik PDRM serta Jabatan Penjara di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, RM45 juta turut diluluskan khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf serta perolehan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am dan RM40 juta bagi infrastruktur serta fasiliti yang berkaitan dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk PDRM.

Sahabudin berkata, peruntukan tambahan itu dilihat membantu pasukan PDRM dalam proses membaik pulih kuarters dan balai polis lama kerana sebelum ini purata peruntukan yang diterima setiap tahun adalah RM30 juta hingga RM40 juta.

"Memang ini sangat membantu.. dengan peruntukan tambahan ini, banyak lagi kuarters, fasiliti dapat dibaiki dan dapat memberi keselesaan kepada warga PDRM. Ini memperlihatkan kerajaan prihatin kepada warga PDRM dan kita sangat berterima kasih kepada kerajaan," katanya. - Bernama