DAP akan umum senarai calon PRN dalam masa terdekat

Kor Ming (kanan) melihat dari dekat infografik menaik taraf infrastruktur ketika mengadakan lawatan ke Program Sentuhan Kasih (KPKT) di Pasar Warisan Taiping pada Sabtu. - Foto Bernama
Kor Ming (kanan) melihat dari dekat infografik menaik taraf infrastruktur ketika mengadakan lawatan ke Program Sentuhan Kasih (KPKT) di Pasar Warisan Taiping pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Senarai calon parti DAP yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, pihaknya menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk membuat pengumuman itu.

"Kita sedang cari tarikh keramat untuk membuat pengumuman tetapi ia akan dilakukan dalam masa terdekat. Saya pasti pengumuman akan dibuat sebelum 29 Julai," katanya pada sidang media selepas menghadiri lawatan kerja Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di Pasar Awam Taiping di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan dan toleransi antara satu sama lain dalam usaha mencari formula kemenangan yang baik supaya dapat mengukuhkan kerajaan Malaysia Madani.

Menurutnya, DAP tidak hanya tertumpu untuk mengekalkan kemenangan di kawasan tertentu, tetapi turut memberi perhatian penuh ke atas kesemua enam negeri yang bertanding pada PRN ini.

"Kita akan turun beramai-ramai ke semua enam negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di samping kita kekalkan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, fokus kita juga termasuk menjadikan Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai negeri sehaluan dengan kerajaan Persekutuan," katanya.

Kor Ming berkata, Malaysia dijangka menjadi negara yang stabil dengan pembangunan ekonomi yang rancak dalam tempoh lima tahun sekiranya gabungan Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan besar di keenam-enam negeri nanti.

"Pelabur-pelabur asing akan semakin ramai masuk malah ringgit pun akan semakin kukuh dan meningkat nilainya. Oleh sebab itu, kestabilan politik adalah sangat penting dalam usaha kita membangunkan semula ekonomi," katanya.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan bertanding di 108 kerusi DUN bagi PRN di enam negeri berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN ini melibatkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56); dan Negeri Sembilan (36). - Bernama