'Hubungan dengan Saifuddin tiada masalah, saling menghormati' - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

BAYAN LEPAS - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa pemimpin pembangkang tidak tahu bagaimana hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berlangsung.

Kata beliau, hubungannya dengan Saifuddin tidak mempunyai sebarang masalah malah saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Pemimpin pembangkang yang membangkitkan isu ini tidak tahu bagaimana hubungan saya dengan Saifuddin berlangsung.

"Isu ini tidak mendatangkan kesan langsung kepada kami berdua, Saifuddin dan saya telah kenal lama, kami boleh saling tidak bersetuju antara satu sama lain malah saya juga ada berbeza pendapat dengan Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Saifuddin pernah merayu kepada beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti itu.

Pada pemilihan PKR pada tahun lalu itu, Rafizi menewaskan Saifuddin dengan majoriti yang besar.

Mendedahkan perkara itu dalam satu ceramah di Sik, Kedah, Hamzah berkata Saifuddin ada berjumpa dengannya lepas seminggu kalah dan menghantar surat memohon keputusan pemilihan tersebut dibatalkan.