Transaksi tanpa tunai meningkat dua kali ganda di R&R PLUS

Sa'duddin Zainol membawa pulang motosikal Yamaha Ego Avantis bernilai lebih RM6,000 berserta 50,000 mata ganjaran PLUSMiles
Sa'duddin Zainol membawa pulang motosikal Yamaha Ego Avantis bernilai lebih RM6,000 berserta 50,000 mata ganjaran PLUSMiles
A
A
A

SHAH ALAM - Transaksi tanpa tunai menggunakan kad ATM MyDebit di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh hanya tiga bulan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, peningkatan itu hasil kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang menjalankan Kempen R&R MyDebit 'Wave dan Menang'.

Menurutnya, kini lebih daripada 85 peratus gerai yang beroperasi di R&R sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dilengkapi terminal pembayaran tanpa tunai yang menerima pembayaran kad MyDebit, kad kredit, Touch ’n Go eWallet, GrabPay, Boost, MAE, ShopeePay dan Setel.

“Ia turut memberi peluang kepada kami untuk menyokong kerajaan dalam mempromosikan kewangan digital dan memperkukuhkan penerimaan pembayaran secara digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kempen ini juga dilihat menarik minat dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam membudayakan pembayaran tanpa tunai bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam mempromosikan transaksi secara digital dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PLUS bersama pemenang Kempen R&R MyDebit 'Wave & Menang'
PLUS bersama pemenang Kempen R&R MyDebit 'Wave & Menang'

PLUS mengumumkan pemenang Kempen R&R MyDebit 'Wave & Menang' yang berlangsung dari 1 Disember 2022 hingga 28 Februari lalu.

Kempen anjuran PLUS dan PayNet itu menyaksikan Sa'duddin Zainol berjaya membawa pulang motosikal Yamaha Ego Avantis bernilai lebih RM6,000 berserta 50,000 mata ganjaran PLUSMiles dengan hanya berbelanja RM5 di R&R PLUS menggunakan kad ATM MyDebit.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad menjelaskan, pihaknya menerapkan budaya pembayaran tanpa tunai dengan menyediakan kemudahan dalam setiap aspek dan konteks aktiviti harian orang ramai.

Tambah beliau, ia termasuk menyediakan kemudahan sedemikian di sepanjang hentian rehat lebuh raya untuk kemudahan pengguna jalan raya.

"Masih ramai yang masih tidak sedar tentang masa yang dapat dijimatkan daripada terpaksa melakukan pengeluaran wang tunai di ATM.

“Mereka boleh membuat pembayaran terus di kedai atau membuat pembelian dalam talian menggunakan kad ATM MyDebit mereka, tanpa dikenakan sebarang surcaj, walaupun untuk jumlah nilai yang kecil," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!