19 inisiatif bantu ekonomi rakyat

Inisiatif itu melibatkan penambahbaikan bantuan sedia ada serta pengenalan program baharu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegasja Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan rakyat Malaysia mendapat lebih banyak manfaat menerusi inisiatif-inisiatif yang bakal diumumkan kelak.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegasja Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan rakyat Malaysia mendapat lebih banyak manfaat menerusi inisiatif-inisiatif yang bakal diumumkan kelak.
A
A
A

Kira-kira 19 inisiatif untuk membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan sepanjang tujuh bulan mentadbir negara ini.

Menerusi satu video khas siri pertama laporan pencapaian Kerajaan Perpaduan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menerangkan, inisiatif itu melibatkan penambahbaikan bantuan sedia ada serta pengenalan program baharu.

Ujarnya, daripada 19 inisiatif yang sudah dilaksanakan, sembilan daripadanya membabitkan peningkatan kadar bantuan sedia ada yang memanfaatkan pelajar, anak muda, golongan berpendapatan rendah, guru Kelas Agama dan Fardu Ain, penjawat awam, pesara kerajaan dan pekebun.

Jelas Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menerusi video berdurasi tiga minit 54 saat itu, ia merangkumi kenaikan elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada RM1,100 sebulan; Bantuan Awal Persekolahan menjadi RM150; e-dompet (RM200) serta Sumbangan Tunai Rahmah yang diberi sehingga RM2,500, berbanding RM1,800 bagi Bantuan Prihatin Rakyat sebelum ini.

“Elaun 35,000 guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) juga dinaikkan kepada RM1,100 sebulan, dan kepada sumbangan imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir naik kepada RM600.

“Bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan turut dinaikkan, masing-masing kepada RM700 dan RM250, manakala bantuan musim tengkujuh kepada pekebun meningkat kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini,” jelasnya.

Kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi perhatian utama Kerajaan Perpaduan.
Kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi perhatian utama Kerajaan Perpaduan.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan pada masa sama turut memperkenalkan tiga bantuan baharu, iaitu Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada pesawah, nelayan dan pekebun; selain buat kali pertama pesawah mendapat sumbangan tambahan RM250 hasil agihan sumbangan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjumlah RM60 juta.

“Insya-ALLAH Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan rakyat Malaysia mendapat lebih banyak manfaat menerusi inisiatif-inisiatif yang bakal diumumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf di sini baru-baru ini turut menyentuh mengenai peranan yang dimainkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang diterajuinya.

Antara perkara yang disentuh adalah mengenai tahap capaian 5G di Malaysia setakat 30 Jun lalu secara purata telah mencecah 64.7 peratus.

“Ini adalah peningkatan yang positif dan kita berhasrat untuk melaksana rangkaian 5G mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai berita palsu yang mungkin dijadikan bahan kempen oleh parti politik bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, Fahmi menjelaskan, pihaknya sentiasa memantau perkara tersebut.

Tambahnya, orang ramai diminta untuk menilai dan membuat pengesahan mengenai sesuatu maklumat mengelirukan yang diterima khususnya melalui pelbagai platform media sosial bagi mengelak terjebak dengan sebaran berita palsu.

“Di bawah KKD ada dua agensi iaitu Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan juga SKMM yang ada unit meneliti berita palsu atau sebaran bersifat fitnah. Pertamanya Sebenarnya.my dan keduanya, MyCheck.my,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai usaha untuk mengekang isu 3R (agama, raja dan kaum) daripada terus dijadikan bahan kempen terutamanya menjelang PRN tidak lama lagi, Fahmi menjelaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang membangkitkan perkara tersebut.

“Isu 3R mampu merosakkan perpaduan. Sebab itulah tindakan tegas wajib diambil oleh pihak berkuasa kerana kita hanya ada satu negara Malaysia. Kita kena elak daripada terjerumus ke kancah yang tidak diingini.

“Sebab itu kita perlu pertahankan perpaduan negara kita, elak bermain politik 3R, siapa yang terlibat sudah pasti pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya.