'Tak betul, tunggu senarai calon diumum Presiden' - Jalaluddin

Senarai calon UMNO Negeri Sembilan yang tular, Jalaluddin.
Senarai calon UMNO Negeri Sembilan yang tular, Jalaluddin.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan menafikan kesahihan senarai tular calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, senarai calon yang muktamad hanya akan diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.

"Senarai itu tak betul. Sekarang ini macam-macam senarai yang keluar. Tunggu saja pengumuman rasmi esok (Jumaat).

"Hal macam ini biasa berlaku setiap kali pilihan raya. Selagi belum diumumkan, ia tidak sahih," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor pula meminta jentera parti bersabar dan menunggu keputusan rasmi yang akan diumumkan Presiden.

Beliau berkata, sesiapa pun boleh membuat andaian sebegitu.

Berdasarkan senarai yang tular, kira-kira 50 peratus adalah muka baharu sebagai calon di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan termasuk DUN Lenggeng.

Antara nama disenaraikan iaitu, Ketua UMNO Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli di DUN Linggi, Timbalan Ketua UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa pula di DUN Bagan Pinang dan Timbalan Ketua UMNO Jempol, Muhamad Zamri Omar di DUN Serting.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Khadir pula disenaraikan sebagai calon di DUN Jeram Padang dan Naib Ketua UMNO Seremban, Mohd Asna Amin di DUN Lenggeng.

Tiga lagi calon baharu iaitu bagi DUN Kota, Suhaimi Aini; DUN Seri Menanti, Sufian Md Razi dan DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar yang merupakan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Sembilan.

Sebelum ini media melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan sudah menerima semua senarai calon yang akan mewakili parti itu di enam negeri yang akan menghadapi PRN.

Katanya, senarai itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum diumumkan pada 21 Julai ini di WTCKL.