Kapal terbalik di perairan Sebuyau, sembilan kru hilang

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUCHING - Sembilan kru dilaporkan hilang dalam insiden kapal terbalik yang berlaku kira-kira empat batu nautika ke barat laut Pulau Burung berdekatan perairan Sebuyau, kira-kira 103 kilometer dari sini pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kru yang hilang terdiri dari empat warga tempatan yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba dan Stimba Anak Chuit.

"Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang lagi warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto dengan kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia menerima laporan berhubung kehilangan kapal itu, yang dikenali sebagai MV Tung Sung, pada kira-kira jam 9.40 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada jam 1.20 tengah hari dengan sebuah aset agensi itu, KM Kinabalu, digerakkan ke lokasi kejadian.

"Bot KILAT 35 dan bantuan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia turut digerakkan ke kawasan pencarian,” katanya sambil menambah sektor percarian melibatkan kawasan perairan seluas 210.48 batu nautika persegi namun ditangguh setakat jam 7 malam dan disambung semula pada 8 pagi Jumaat. - Bernama.