BN tidak letak Tengku Zafrul bertanding di DUN Paya Jaras

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menafikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras diserahkan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memberi laluan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan.

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, laporan sebuah portal itu tidak benar dan meragukan.

"Itu laporan media, saya pun tidak tahu media dari mana (membuat laporan tidak tepat)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Mohd Khairuddin, beliau sendiri telah berhubung dengan pimpinan BN dan PH dalam satu Mesyuarat Perpaduan di negeri ini.

"Saya diberitahu pimpinan BN bahawa perkara itu tidak benar dan PKR kekal bertanding di kerusi ini," jelas beliau.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan kemungkinan Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Paya Jaras.

Kerusi DUN Paya Jaras dimenangi Mohd Khairuddin daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohd Khairuddin yang memperoleh 20,376 undi menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 12,072 undi.

BN yang diwakili Datuk Zein Isma meraih 8,304 undi dan calon Pas, Hanafi Zulkapli pula mendapat 6,042 undi.

Pada 28 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, Tengku Zafrul menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan menentukan calon susulan kenyataan UMNO Bahagian Kota Raja berharap ketuanya diketengahkan sebagai calon DUN Sungai Kandis bagi PRN kali ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!