PRN: Kedudukan kerusi DUN Lenggeng diumum masa terdekat - Adly

Adly - Foto Bernama
Adly - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari mengesahkan ada perbincangan berhubung tuntutan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Katanya, keputusan perbincangan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Memang ada perbincangan, ada tuntutan dan akan diumumkan sendiri oleh Presiden Amanah dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kerusi-kerusi yang ditandingi Amanah di Negeri Sembilan ini.

"Jadi secara umumnya kita sudah ada kesepakatan, cuma pengumuman itu akan dibuat kerana kita tahu bahawa kesepakatan kita yang paling penting, untuk kita mendepani pilihan raya ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan kerusi DUN Lenggeng berikutan BN Negeri Sembilan mengumumkan akan bertanding di 17 kerusi DUN termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

Kerusi DUN berkenaan dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Amanah Negeri Sembilan akan pertahan habis-habisan kerusi tersebut dan keputusan itu selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 13 Julai lalu yang mengumumkan kerusi DUN terbabit kekal ditandingi parti itu termasuk dua DUN lain iaitu Paroi dan Klawang.

Sebelum itu, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan merasmikan Program Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi Pertahanan di Sekolah Sains Rembau (Semesra) di sini pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Adly berkata, kementeriannya melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE)) telah menganjurkan program itu bagi program membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan di sekolah.

"Usaha ini jelas membuktikan komitmen STRIDE dan Kementerian Pertahanan terhadap usaha-usaha untuk menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi bukan sahaja di kalangan warga pertahanan malah kepada generasi muda yang terdiri daripada para pelajar sekolah menengah.

"Justeru, penganjuran program seperti ini diharap dapat mengatasi masalah kurangnya minat pelajar dalam menekuni ilmu sains dan teknologi.

"Oleh itu, STRIDE selaku institusi penyelidikan pertahanan negara akan terus memainkan peranan membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk memupuk budaya daya cipta dalam kalangan pelajar sekolah selaku pewaris generasi masa hadapan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Amanah Negeri Sembilan bertegas pertahan DUN Lenggeng

Serah pada PM muktamadkan agihan kerusi termasuk DUN Lenggeng

PRN: Kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

PRN: BN Negeri Sembilan tanding 17 kerusi termasuk DUN Lenggeng