350 pelumba bakal gegar bandar raya Melaka

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

KIRA-KIRA 350 pelumba bakal menggegarkan bandar raya Melaka selama tiga hari apabila Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya sudah bersedia dan mengalu-alukan kehadiran kesemua pelumba bagi menghangatkan kejohanan kali ini.

“Berdasarkan senarai penyertaan peserta selepas tarikh tutup semalam (Ahad), seramai 120 pelumba akan mengambil bahagian melibatkan kategori terbuka (lelaki) dan master (lelaki A dan B).

“Ini satu jumlah yang cukup baik selain mengambil kira jumlah pelumba yang akan bersaing dalam kategori elit (lelaki dan wanita), bawah 23 tahun (lelaki) dan junior (lelaki dan wanita),” katanya.

Menurut Abu Samah, antara pasukan negeri yang bertanding termasuklah Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur selain wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pasukan berstatus benua terbaik negara, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) turut bersaing selain satu lagi pasukan tempatan yang mula mencipta nama, Team Aquatwo Cyclomotion (TAC),” jelasnya.

Melaka kembali menjadi tuan rumah Kejohanan Berbasikal Kebangsaan kali ini selepas edisi tahun lalu berlangsung di Manong, Perak yang menyaksikan pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhsin Al Redha Misbah menjuarai kategori elit lelaki.

Namun, tanpa kehadiran TSC pada kejohanan kali ini, barisan pelumba TSG diramal mampu mendominasi beberapa kategori utama termasuk elit lelaki dan ujian masa individu lelaki.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang terpaksa akur dengan kilauan perak pada edisi 2022, kini tampak menjadi calon pilihan menyambar emas.

Malah, pemenang pingat emas Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff turut disebut-sebut antara pelumba pilihan untuk muncul juara kebangsaan tahun ini.