Search, Ella, Joe Flizzow antara 35 artis gegar konsert Hausboom Music

Hausboom Music akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 dan 10 September depan. - FOTO: HAUSBOOM MUSIC
Hausboom Music akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 dan 10 September depan. - FOTO: HAUSBOOM MUSIC
A
A
A

SEJAK pertama kali diperkenalkan pada 2018, konsert Hausboom Music terus mencuri perhatian ramai setiap kali penganjurannya.

Terbaru acara muzik berprestij itu bakal menampilkan 35 penghibur dan pemuzik mantap daripada pelbagai genre dengan satu misi iaitu untuk memberi hiburan maksimum dan berkualiti kepada pengunjung.

Konsert edisi ketiga yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 9 dan 10 September depan itu membariskan nama besar seperti Search, Ella, Datuk M Nasir, Joe Flizzow, Hujan, Exists, Spider, Bunkface, Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, SonaOne, Shila Amzah dan Dolla.

Diikuti SOG, Masdo, Alif Satar & The Locos, Baby Shima, IAmNeeta, Toko Kilat, 53 STU, Budak Nakal Hujung Simpang, Iqbal M, Insomniacks, Midnight Fusic, Grey Sky Morning, Naratu, No Good, Orkes Hizaidin, Chronicalz, Forceparkbois, Luqman Podolski dan Gard Wuzgut.

Tidak ketinggalan pemuzik dari Indonesia, Hyndia dan Alyph serta Akeem Jahat yang mewakili Singapura.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier, Hausboom Music terkenal sebagai pelopor yang menggabungkan variasi genre seperti Rock, Dangdut, R&B, Hip-Hop dalam sebuah konsert.

“Penganjuran kali ini membabitkan barisan penghibur lebih mantap dan datang bukan sahaja daripada Malaysia tetapi negara jiran, Singapura serta Indonesia.

“Bakal menghimpunkan 35 penghibur berbeza latar muzik di dalam sebuah acara, objektif utama Hausboom adalah untuk terus menghidupkan dan menyemarakkan ekonomi industri hiburan negara.

“Pada masa sama, Hausboom ingin meraikan dan menyokong pemuzik lokal untuk terus aktif serta memberi peminat hiburan yang berkualiti, terbaik serta berbaloi buat semua,” ujarnya yang menyasarkan 15,000 penonton akan hadir.

Hausboom 2023 yang menyaksikan kolaborasi bersama Affin itu bakal melakar sejarah apabila menjadi konsert lokal terbesar yang pernah dianjurkan di SIC.

Tiket-tiket berharga RM199, RM359 dan RM1200 (VVIP) boleh didapati menerusi Ticket2u.com dan laman web rasmi Hausboom.