Hajat ke menara gading tidak kesampaian

Md Afdlin kini tidak sedarkan diri dan ditempatkan di ICU Hoshas di Temerloh.
Md Afdlin kini tidak sedarkan diri dan ditempatkan di ICU Hoshas di Temerloh.
A
A
A

MARAN - Hajat seorang remaja untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak kesampaian. Dia kini koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Felda Jengka 25, di sini tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam itu, Md Afdlin Md Nasir, 18, mengalami kecederaan parah.

Remaja itu kini tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Abang mangsa, Md Ashraf, 29, berkata, adiknya kelihatan teruja selepas mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak dalam jurusan Diploma Sains Pertanian.

“Sejak mendapat surat tawaran itu, adik sangat gembira dan tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Kami tak sangka adik terlibat dalam kemalangan bersama rakannya di Felda Jengka 25.

“Motosikal Yamaha 135 LC yang ditungganginya terbabas sebaik melalui kawasan selekoh yang gelap namun rakannya hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Md Ashraf berkata, ibunya, Zaiton Ismail, 53, bergegas ke lokasi kejadian sebaik mengetahui kejadian itu dan terus menghantar adiknya ke Hospital Jengka sebelum remaja itu dirujuk ke Hoshas.

Artikel Berkaitan:

“Kami diberitahu adik alami luka dalaman termasuk pendarahan di kepala dan patah bahu malah tulang rusuknya tercucuk pada paru-paru,” katanya.

Menurutnya, dia dan ibunya tidak sanggup kehilangan Md Afdlin serta mengharapkan remaja itu segera sembuh untuk menyambung pelajaran di UPM.

“Saya hanya dua beradik dan adik tinggal bersama ibu selepas arwah ayah, Md Nasir Ibrahim meninggal dunia empat tahun lalu,” katanya.