Dua beranak ditahan kes tuntutan palsu subsidi upah dana kerajaan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada Selasa, menahan pemilik sebuah syarikat dan seorang pengarah projek kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu hampir RM90,000 kepada sebuah agensi kerajaan berhubung subsidi upah melibatkan dana kerajaan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek merupakan bapa dan anak lelaki berusia 50 dan 25 tahun itu ditahan selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor pada kira-kira jam 8 malam.

Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Difahamkan pada tahun 2020, kedua-dua suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada agensi tersebut berkaitan tuntutan program subsidi upah melibatkan dana kerajaan.

Mereka telah melampirkan senarai nama pekerja yang layak sedangkan hasil tuntutan tersebut tidak dibayar kepada pekerja syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.