Masyarakat jangan leka sepanjang Ramadan

Mohd Noor (kiri) menyerahkan risalah kepada para peniaga bazaar Ramadan Taman Kerang, semalam.
Mohd Noor (kiri) menyerahkan risalah kepada para peniaga bazaar Ramadan Taman Kerang, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Program Kepolisian Masyarakat anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di Bazar Ramadan Taman Kerang semalam bertujuan memberikan peringatan pencegahan jenayah kepada masyarakat umum.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, program ini adalah bagi memberikan didikan kepada orang ramai secara lebih dekat dan dua hala antara polis dan masyarakat.

Menurutnya, umum perlu diberikan kefahaman bahawa mereka dilihat sasaran utama oleh penjenayah jika leka.

“Mereka yang merupakan peniaga-peniaga meninggalkan rumah sekitar jam 3 hingga 6 petang kerana berniaga di bazar Ramadan.

“Rutin itu berjalan selama lebih 25 hari sepanjang bulan dan ini membuka peluang kepada penjenayah untuk menjalankan gejala pecah rumah sekiranya para peniaga tidak meningkatkan kesedaran dan memastikan aspek keselamatan, baik rumah dan premis, mahupun diri sendiri dan keluarga.

“Selain para peniaga, para pelanggan yang datang ke bazar Ramadan juga berisiko menjadi sasaran utama penjenayah jika tidak diberikan tumpuan,” katanya.

Hadir sama Ketua Polis Balai Kuantan, Inspektor Fazli Yaakub, pegawai-pegawai kanan dan rendah polis.

Dalam program tersebut, para pegawai PDRM mengadakan edaran risalah dan temu bual secara empat mata kepada masyarakat dan pengunjung bazar.

Artikel Berkaitan:

PDRM juga turut mengadakan perjumpaan dengan petugas Pihak Berkuasa Tempatan untuk perkongsian pencegahan jenayah, aliran trafik dan parkir.

Terdapat 1,935 peniaga dengan 35 lokasi diberikan tumpuan PDRM di sekitar daerah Kuantan.