Tak sampai 24 jam lolos, tahanan diberkas semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NIBONG TEBAL - Tahanan penjara yang dilaporkan melarikan diri di Hospital Sungai Bakap di sini, pada Isnin telah berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Ng Ah Thiam berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Jalan Pantai, Butterworth kira-kira jam 8.45 pagi pada Selasa.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan bersama pasukan dari Penjara Seberang Perai telah berjaya menahan lelaki berkenaan.

"Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah memberikan kerjasama," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, seorang tahanan penjara dilaporkan melarikan diri di Hospital Sungai Bakap, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Ng Ah Thiam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.56 petang daripada seorang warden penjara.

Menurutnya, tahanan lelaki bernama Nordin Ahmad, 54, melarikan diri di Wad Kuarantin Tibi, Hospital Sungai Bakap.

"Semasa meloloskan diri, tahanan tersebut memakai kemeja t kelabu dan seluar pendek hitam.

"Berikutan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan telah melancarkan OP Tutup bagi mengesan tahanan terbabit," katanya.