Malaysia bakal jadi tumpuan pelabur institusi terbesar dunia

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dijangka menjadi tumpuan pelabur-pelabur institusi terbesar di dunia yang dihoskan oleh UBS, bank swasta terbesar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya telah berjumpa dengan pelabur-pelabur institusi yang mempunyai aset di bawah pengurusan (asset under management) antara RM180 bilion dan RM3.2 trilion, dan bertukar pandangan tentang situasi ekonomi dan politik semasa, di samping berkongsi pelan-pelan kementerian untuk tahun-tahun mendatang.

Menurutnya, dalam perbincangan tersebut, kementerian telah memberikan fokus kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang mampu memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia dengan jumlah peluang pelaburan sebanyak RM637 bilion.

“Kementerian Ekonomi telah menerima respons yang amat menggalakkan daripada firma-firma pemodal teroka yang paling berpengaruh dalam dunia syarikat pemula seperti GGV, Iterative VC, TPG Global, East Ventures, Insignia Ventures Partners, dan Openspace Ventures atas usaha Kementerian dalam membangunkan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

“Dalam sesi yang dihoskan oleh K3 Ventures dan Bloomberg, salah satu daripada firma-firma pemodal teroka yang hadir juga telah mengumumkan hasrat mereka untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Terdahulu beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) Ke-16 yang berlangsung pada 14 Julai lalu.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Negara (Singapura), Desmond Lee; Pemangku Menteri Pengangkutan (Singapura), Chee Hong Tat; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Antara lain, JMCIM telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah pasukan petugas khas (special task force) untuk mengkaji penubuhan zon ekonomi khas Johor-Singapura (Johor-Singapore special economic zone).

Tujuan zon ekonomi khas ini adalah untuk meningkatkan pelaburan dan pekerjaan berkualiti tinggi di Johor dan Singapura dengan memudahkan aliran pergerakan manusia (people-to-people movement), barangan, dan perniagaan.

Pasukan petugas khas ini akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri dari Singapura, dengan sokongan dari agensi kerajaan lain.

Tambahnya lagi, Kementerian Ekonomi akan terus mengambil sikap terbuka terhadap kerjasama serantau terutamanya dalam bidang ekonomi, bakat dan teknologi.

“Sesi libat urus dengan firma pemodal teroka dan pengasas yang berpengalaman akan diadakan lebih kerap lagi untuk menzahirkan cita-cita negara untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula serantau (regional startup hub).

“Saya akan menyampaikan maklum balas yang diterima daripada lawatan ini serta dasar-dasar yang perlu digubal kepada Jemaah Menteri sebagai langkah penstrukturan ekonomi dengan pemilihan industri pemangkin negara,” kata Rafizi.

Dalam lawatan itu juga Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi, bersama Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), telah mengadakan sesi dialog dengan syarikat-syarikat semikonduktor seperti Micron, Infineon Technologies, ST Microelectronics, Venture Corporation, dan Synopsys untuk melakar visi strategik industri semikonduktor diMalaysia.

“Industri semikonduktor dianggarkan bakal mencecah AS$1 trillion pada 2030 akibat peningkatan permintaan global.

“Penentuan visi strategik yang dapat menggunakan kelebihan sedia ada kita, terutamanya dalam backend dan reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit design), mampu mewujudkan pekerjaan yang bergaji dan bernilai tinggi,” ujarnya.