Lelaki maut tercampak keluar dari treler

Seorang pemandu maut selepas treler dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara Selatan, Kluang pada malam Isnin. - Foto: IPD Kluang
Seorang pemandu maut selepas treler dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara Selatan, Kluang pada malam Isnin. - Foto: IPD Kluang
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki maut tercampak keluar dari treler dipandunya selepas hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 9.44 malam itu mengakibatkan mangsa dikenali sebagai Zulkifli, 54, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati treler dipandu mangsa datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan serta melanggar pokok di sebelah kiri jalan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan keadaan treler remuk teruk pada bahagian hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Nizar Ma'mun berkata, seramai 12 anggota dari BBP Renggam dan BBP Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian.

"Operasi tersebut dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT). Mangsa yang tercampak keluar dari treler disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.20 malam," ujarnya.