Kuota Ahli Dewan Negara boleh ditambah - Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan boleh menambah jumlah kuota Ahli Dewan Negara yang dipilih daripada setiap negeri daripada dua orang kepada tiga orang, jika terdapat keperluan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, di bawah Perkara 45 (1) (a), Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan dua wakil boleh dipilih dari negeri masing-masing untuk ke Dewan Negara, namun jumlah itu boleh ditambah.

"Bergantung kepada kerajaanlah... sekarang kita ada dua orang diundi menjadikan mereka yang dipilih seramai 26, manakala yang dilantik Yang di-Pertuan Agong seramai 44 orang.

"...jumlah ini boleh ditambah seorang lagi...macam House of Lords di England, United Kingdom pada satu-satu masa ada 1,800 orang (Senator).. tiada masalah kalau ditambah,” katanya kepada selepas Majlis Interaksi bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Siri 1 2023, di Bangunan Parlimen, malam Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan beberapa pihak yang mahu kuota Ahli Dewan Negara yang dipilih daripada negeri ditambah, sebagai usaha memperkasakan fungsi Dewan Negara.

Hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19 pada 19 Jun lepas. - Bernama