JKNP siasat kematian kanak-kanak OKU

Tangkap layar hantaran wanita terbabit yang tular di laman sosial pada Isnin.
Tangkap layar hantaran wanita terbabit yang tular di laman sosial pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) akan menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular di media sosial pada Isnin.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, punca kematian kanak-kanak itu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dengan penyakit lewat perkembangan dan congenital laryngomalacia juga masih dalam siasatan.

Katanya, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 9.34 pagi Isnin selepas lima hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh bermula 12 Julai lepas.

"Pada mulanya kanak-kanak itu dibawa warisnya ke Klinik Kesihatan Lurah Bilut di Bentong pada jam 11.30 pagi 12 Julai dengan gejala cirit-birit yang didakwa bermula sehari sebelumnya.

"Berdasarkan dokumentasi di klinik didapati pemeriksaan fizikal adalah normal dan tiada tanda pesakit mengalami dehidrasi dan telah dibenarkan pulang dengan rawatan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Dr Nor Azimi berkata, waris kanak-kanak itu bagaimanapun telah membawanya ke klinik swasta pada hari sama dan diberi surat rujukan ke hospital, menyebabkan kanak-kanak itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Bentong pada jam 4.20 petang 12 Julai lepas.

Ujar beliau, kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke HoSHAS pada hari yang sama sebelum keadaan menjadi semakin kritikal selepas lima hari rawatan.

"Jabatan ini akan membuat siasatan dan mengambil tindakan lanjut. JKNP sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kualiti perkhidmatan perubatan kepada pesakit terjamin," katanya.

Terdahulu, status seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut tular di media sosial, meluahkan rasa marah dan terkilan terhadap rawatan diterima anaknya di sebuah fasiliti kesihatan kerajaan di Bentong.